Hah, kalau suka tu, cer tolong klik LIKE. Mekasih

Friday, December 30, 2011

SBDK: UPDATE AKHIR TAHUN 2011

Makk aiiii!

Dekat sebulan dah dah update.

Okey, mahap ler berbanyak. Sebabnya, keghojer banyak giler. tak dan langsung nak buat hapa. No 2, pase sibuk belajor HDR dengan teknik Stitch. 

Idak ler khatam habih lagi, tapi boleh lepaih la kalau terdesak.

Nanti aku post kat sini macam mana nak buat.

Tahun ni rasernya banyak improve dah pase ambik gambor ni. Sifu pun ada sound "ni dah dasat dah ni" lepas review ada satu gambor aku tu. Kembang ler, sapa tak kembang kalau sifu puji. Sifu aku ni plak, jenih brutal, kalau tak kena mata dia, berbakoi ayat brutal kuor. Ganaih ngalah ghimo. Bila dia puji sikit, mana tak kembang.

Itu tang teknik.

Tang hasil jualan kat microstockphoto agency lak, alhamdulillah, bulan demi bulan, tambah banyak orang beli. Takat ni kalau kira semua adalah Kaaa chingggg lebih kurang USD 200.00. Okler kalau nak kira sebab hampir 90% gambor aku load untuk jual gambor landscape dengan nature. Mana nak lawan depa yang pakai model. Banyak modal woo. Tahun depan cadangnyer nak pelbagaikan shot. Model ke (hehe), product ke. (ada sesapa nak tawar diri jadi model? Tak leh ler demand mahal, sebab aku belum pro lagi).

Tang gadget lak, aku rasa basic semua udah ada. Cukup dulu. Sekarang concentrate cari hasil nak cover balik modal.

Tu ler setakat ni.

Timakasih banyak pada semua yang ikut citer kat SBDK ni. 

Sesama la kita jadi terer tahun baru 2012 ni ya.


FOLLOW ME - RIDHA RAHIMI

Timakasih Ridha Rahimi ikut SBDK.

Tuesday, December 6, 2011

FOLLOW ME : SPEKEI

Tima kasey Spekei ikut SBDK ni. Sesama belajor. Sesama kita jadi terer.

Hehe

Sunday, December 4, 2011

SBDK : UPDATE AKTIVITI AMBIK GAMBOR

Sebenornya , sejak 2 minggu lepas aku terasa maleh sikit nak ambik gambor. 

Ada la ambik gambor kat function. Tu jer. Aktiviti ambik gambor untuk kepuasan diri dengan untuk jualan yang aku tak buat.

Maleh la kot. 

Biasalah ada ketikanya rasa maleh giler, kengkadang rasa tepu belajor ni.

Sekarang ni pun aku tengah ekasais giler untuk turunkan berat badan. Udah membelon balik, sejak berjaya turunkan dari104 kg ke 80 kg Julai tahun lalu. 

Actually ada kene mengena gak dengan aktiviti ambik gambor. Aku rasa tak fit bila pegi hiking panjat gunung, Dengan tanggung gear berat lagi, Woih! Susah nak bernyawa. Tapi itulah, scenery cun giler, celapak gak ler tak bernyawa pun.

So ituler dari dok diam berserah jer pada nasib, baik la buat eksais sikit. Aku start balik eksais akhir bulan 10 ari tu berat aku 96 kg, Pagi ni timbang dah turun 91.7 kg. Oklah tu. (haaa, aku tak percaya dengan ubat kurus, detox hapa ke bala yang sewaktu dengannya, sebab dulu aku kuruskan badan pun dengan eksais semata. Duit beli semua benda tak pekdah tu buat beli lens lagi baguih. Hehe)

Aku ni pun tengah tunggu salji turun, gilernya lambat tahun ni. Gunung ganang masih lagi tak de salji, kecuali tempat yang memang ada salji atas gunung sepanjang tahun. 

Sementara nak menunggu salji melanda benua Eropah ni, belek-belek balik peralatan fotografi, cuci mana yang kotor, buang habuk, cek memori kad, buang gambor blur dalam hard drive (yang kengkadang kita simpan nak buat hapa pun tak tu la), buat back up gambor-gambor lama, cek balik rechargeable batteries ngan flash. Memacam ler.

Yang paling penting sekali aku rasa yang aku kena ialah buat plan untuk shooting musim salji ni. Riki tempat, peralatan, tips dan cara nak shoot, pakaian dan paling penting sekali jaga kesihatan jangan sakit demam.

Musim ni banyak penyakit.

Kang sakit kang langsung tak leh nak buat hapa pulak la.


Thursday, December 1, 2011

KARL TAYLOR FREE PHOTOGRAPHY COURSE

Si Karl Taylor ni dah ada website baru kat sini

Kursus fotografi percuma dia kat link ni. Cara nak masuk tak susah, boh nama ngan emel address, terus boleh dapat akses.

Aku memang suka belajor dengan si Karl ni, cara dia ajor tak boring, macam sesetengah you tube video yang tengok kejap pun dah terasa boring sebab penyampaian hambor giler. Mana la kutu nak bagi perhatian. Karl Taylor ni senang nak paham, start dari basic sampai le ke peringkat pro.

Ada duit lebih tu cer invest beli DVD dia.Video dalam bentuk Ipad ngan Iphone apps pun ada.

Bukan nak promote pulak Karl Taylor ni, sebab aku bukan kerja dengan dia tak dapat upah pun, tapi dah banyak yang aku survey, tang mengajor, dia one of the best, sebab senang paham.

Komer try ler.

Tuesday, November 29, 2011

AMBIK GAMBOR EVENT

Selain dari ambik gambor ikut masa sendiri, aku kerap usha tarikh-tarikh event semasa. Tak kira la, acara suka-suka ke, acara sukan ke, pesta, festival, pertandingan, acara potong riben etc, etc.

Lepak kat event macam ni best jugak sebab selain dari dapat mengabihkan masa dengan Cinta Hati aku dan anak-anak, boleh ambik gambor. Peh tu boleh jual kat Microstock Photo Agency sebagai Editorial pics. Semenjak dua ni banyak gambor editorial aku yang orang beli. Best gak, sebab tak yah pikir tentang model atau property release.

Hujung minggu ni ada pertandingan Supercross kat area rumah aku. Lepaih tu ada equestrian lak kat tempat yang sama. Plannya nak lepak kat situ and ambik gambor action. Boleh praktis skill, dan kalau gambor okay, boleh ler Kaaaa Chingggg.

Sebab pertandingan tu indoor dan and for sure cahaya kureng, plan aku nak bawak lens 70-200 mm 2.8, set pakai aperture priority mode, tengok lah macam mana.

So tu ler, usha event sama, sebab banyak peluang ambik gambor yang menarik. Mana tau shot kita tu nanti terpilih masuk majalah ke, suratkhabor ke. Kalau tak masuk pun tak per, at least kita dapat buat latihan amali untuk mengdasatkan skill ambik gambor.

Sapa untung?

Kita jugak kan.

Sunday, November 20, 2011

SBDK: KENAPA BLOG NI TAK DE GAMBOR ORANG?

Ada pulak dah member tanya, kenapa blog ni tak de gambor orang. Peh tu dia tanya pulak "Hang tak pernah ambik gambor orang ke".

Hmmm camna nak jawab?

Blog ni tak de gambor orang sebab tak upload gambor orang ler. Heheh. Tapi rasanya ada kot upload 2-3 keping. Cuma tak banyak la.

Ada aku ambik gambor orang, tapi tu ler saja maleh nak upload kat sini. Kat FB banyak ler, tu pun banyak kena cilok ngan member, pakat belasah jer buat reta sendiri, hok, dak, hek pun dak, siap buat profile pic lagi pulak tu. Timakasih pun tarak, acknowledgement sapa photographer pun tak dak. Kutu cilok masuk newsletter persatuan sendiri pun ada jugak. Hehe.

Actually tu beza orang kita dengan orang putih ni, Sebabnya, aku pernah dapat emel dari Mat Salleh mana ntah, mintak permission nak pakai gambor aku kat salah satu website. Dia kata kena bayor pun tak pe. Sebab terharu sangat dia mintak permission, aku bagi permission jer la, free, sebab nak promote hasil kerja. Still keep in touch sampai sekarang. Kalau orang kita pulak alahai, member sendiri pun tak mo  tanya dulu.

Ni dah lari topik.

So, sebab apa blog ni tak de gambor orang? 
Sebab banyak isu kemudian hari.

Jawapan soalan no 2 pulak. 
Ya saya pernah ambik gambor orang.

Ooooops!

Sebelum terlupa, sebelum bergadoh besor, sebelom kecik hati, sebelom hangin satu badan. 

SILA WATERMARK GAMBOR KOMER.

Isk,  kita ambik kita punya la. Kot depa nak, BAYOR ler.


Saturday, November 19, 2011

SBDK: MENGARANG GAMBOR UNTUK BACKGROUND/ WALLPAPER

Kengkadang aku suka ambik gambor buat background.

Ni aku jual dalam Microstockphoto Agency. Depa beli untuk buat desktop wallpaper, cover buku, wrapping paper, memacamlah.

Nak ambik gambor macam ni tak susah, senang jer. apa yang perlu ada pada pendapat aku, cari tengok benda yang ada kaler atau corak repetetive, pattern yang berulang. Banyak sabjek-sabjek macam ni kat keliling kita. Cuma kengkadang kita tak perasan jer ada depan mata

Gambor ni aku ambik kat taman depan rumah aku. Daun pokok luruh atas rumput hijau, kebetulan lepas hujan, so nampak fresh kaler dia tu. Shooting angle dari ataih.

Yang ni tempat yang sama tapi dari angle lain. Ni kamera aku letak lebih kurang 5 inci dari ataih tanah. Shooting angle mendatar sama paras dengan permukaan tanah.

Ni pulak aku ambik dari ataih, permukaan kek cokelat. Yang brown tu cokelat la, depa ricih halus-halus, kepak kecik-kecik, peh tu tabor ataih kek. Aku tengok macam cun jer, terus belasah ambik.

Gambor kacang goreng buatan sendiri, macro shot. Cinta hati aku yang buat, aku tukang kopek kulit jer. Member aku kata, dia teruih keluar rumah beli kacang goreng lepaih tengok gambor ni, sebab terlior mengidam katanya. (Kata dia, kalau dia tipu aku, aku pun tipuler kat sini. Hehe).

Ni pulak shot daun merah macro, letak flash kat belakang, bagi nampak timbul segala mak nenek urat-urat daun tu. (Yang ni rasanya aku dah share kat blog ni kot. Maleh betoi nak cek post lelama).

Haaa, yang ni tak de apa trick pun, aku ambik gambor permukaan air berkocak kat kolam renang rumah member aku. Jadi la.

 Gambor ataih ni pulak, shot dari ataih, wide angle lens, pokok gandum, waktu pagi matahari tengah naik. Yang line hijau tengah-tengah tu bayang aku. Aku ambik belakangkan cahaya matahari.

Ni, jalan tar depan rumah aku, diconvertkan ke black and white.

Kesimpulan citer dia, cer tengok pattern, corak awan larat kat keliling kita tu, Kengkadang yelah, sebab udah selalu tengok, mana nak perasan, sebab dah jadi sebahagian rutin kita kan, Biasala jer lah tengok tak de apa.

Tapi tu lah, bila perati, pikior skit, ish batu jalan konkrit pun boleh jadi menarik gak.

Wednesday, November 16, 2011

SBDK: MUSIM LURUH

Musim luruh ni musim paling favourite aku ambik gambor. Cun melecun, sebab daun tukor kaler jadi kuning, merah, oren, coklat. Memacam kaler lah.

Gambor ni aku ambik dari ataih gunung, Banjaran Gunung Jura. Sejuk la jugak masa ni sebab pepagi, matahari baru nak tunjuk muka.

3.2 saat at F22, ISO 100, 200mm

1.2 saat at F22, ISO 100, 24 mm

0.5 saat F22 ISO 100, 70mm

Macam biasa, aksesori yang pakai, tripod dengan shutter release cable.

Shot in RAW, proses guna Lightroom.

Tu jer.

Monday, November 14, 2011

GAMBOR TERMAHAL KAT DUNIA

Ha ah. 

Macam komer sumer, aku dok tepuk dahi tengok gambor ni. Banyak dah komen pengarang akhbar dan pengkritik yang kata, gambor ni dull, lifeless, tak bermaya, etc-etc. Kutuk giler la.

Tapi ituler, apa pun kata depa, gambor ni dah dijual lelong dengan rega US 4.3 juta @ RM 13, 487,397.10. Mak ai!

Moh kiter ambik gambor Sungei Perak, Sungai Klang, Terusan Wan Mat Saman dan spesis-spesis sama waktu dengannya.

Arggghhhhhhh!

Saturday, November 5, 2011

SBDK : MENGARANG GAMBOR

Mak aii! lamanya tak update SBDK ni.

Busy giler, subuk memanjang ngan kerja satu lagi tu. Baru hari ni la free skit. 

Hokeh, sembang pasal kreativiti. Cara mengarang. Seriousnyer, kreatif ni pada aku ler, (tak tau pendapat orang lain macam mana) terpulang kat citarasa individu tu. Benda kreatif mana boleh nak ikut rules ngan undang-undang. Kalau dak tak jadiler benda tu tu tak kreatif.

Aku baru sembang ngan sorang mamat pro ni. Dia kata, cer pikir outside the box. Dia kata tarik napeh pepanjang, clear kan kepala hotak dari semua benda, peh tu tengok apa benda yang kita nak mabik gambor tu. Sebabnya kalau kita excited, terlalu gumbira sangat, mungkin kita akan miss angle yang menarik.

Senang kata mamat pro ni.

Aku test teori dia, hehe.

Picket Fences
© Photographer: Akulamatiau | Agency: Dreamstime.com

Gambor pagor jer, tapi boleh buat menarik sebab kaler lain, bahagi kat tengah, shoot dari ataih.


Yang ni pulak, aku dah tengok ada horizontal line elok jer berbaris, so tengah-tengak pikior apa lagi nak tambah bagi menark, tengok ada reflection pokok atas bumbung kereta member aku. Masukkan sikit bumbung keter dia tu, nampak ler macam bayang kat ayor.

So, betoilah kot kata mamat pro tu.

Sebelum ambik gambor, tarik napeh pepanjang, recce, tinjau segala angle dan for sure kita boleh dpt gambor menarik.

:)

Tuesday, November 1, 2011

SBDK : FLASH BASIC TIPS

You tube video ni tunjukkan berbagai cara nak guna flash. Boleh lekat jer kat kamera, pakai sync cord, pakai transmitter.


FOLLOW ME: PARK CHU MAN

Timakasih kepada Bro Park Chu Man yang baru joined follow SBDK ni. Harap dapat sesama share pengalaman dan tips untuk sumer.

Thursday, October 20, 2011

SBDK: PANNING @ ACTION PHOTOGRAPHY

Ni sebagai memenuhi permintaan Shafiq untuk belajor teknik panning.

Sorry, tak sempat nak sembang panjang pasal teknik ni, aku belajor pun dari video si Karl Taylor ni la jugak. Video kat bawah sekali.

Dua gambor bawah ni aku guna teknik panning. Try ler.

20th Swiss Classic British Car Meeting
© Photographer: Akulamatiau | Agency: Dreamstime.com


20th Swiss Classic British Car Meeting
© Photographer: Akulamatiau | Agency: Dreamstime.com

All the best!


Wednesday, October 19, 2011

SBDK: UPDATE

Aku sibuk sikit tengah praktis teknik baru. Nanti update.

Monday, October 10, 2011

SBDK : MENGARANG GAMBOR : BACKLIGHTING

Hari ni moh kita sembang pasal teknik BACKLIGHTING.

Nombor satunya backlighting dengan background lighting bukan sama yek.

Backlighting ni bila kita suluh dan pancarkan sumber cahaya tepat ke sabjek gambor yang kita nak ambik tu. Background lighting pulak bila background gambor kita tu dicahayakan. Okey ke penerangan ni? Hehe alah paham kan.

Teknik ni tak susah sangat. Sabjek yang kita nak ambik tu letak depan sumber cahaya contohnya cahaya matahari, lampu, flash.

KAMERA ---> Sabjek-----> Sumber Cahaya.

Ni aku selalu pakai untuk macro shot atau pun close up. Sebabnya bila kata lah sehelai daun tu di backlightkan, timbul semua urat daun, permukaan daun yang sebelum ni tak pernah nampak.

Satu lagi aku pakai kalau untuk gambor potraiture le katakan. Backlighting sabjek bagi nampak macam ada sinaran putih kat pinggir rambut/kepala. Tapi bila buat camni pulak, pastikan bahagian depan kat depan yang pandang kamera tu cukup cahaya la pulak. Kalau tak cukup, kena bagi ada sikit dengan cara `fill in' cahaya. Itu la yang orang dok kata Fill In Flash tu. Maknanya pakai dua sumber cahaya, satu untuk backlight, satu untuk fill in. Tapi ni bab lain pulak.

Contoh gambor backlighting macam kat bawah ni.



Caranya, daun ni aku letak atas A4 paper, atas meja kaca, peh tu flash tu letak bawah cermin kaca meja betul-betul bawah daun-daun ni. 

(Takde A4 paper putih pun tak per. Sebabnyer aku pakai A4 paper tu sebab aku nak kan background putih)

Kala kat luar rumah, cer ambik gambor daun ke, kelopak bunga ke, atau apa pun lah yang boleh cahaya tembus sikit,  bior kedudukan matahari kat belakang benda-benda ni, peh tu ambik la gambor. Sure cun.

Hokeh. roger.

Wednesday, October 5, 2011

SBDK : MENGARANG IMEJ : STAR EFFECT

Camna nak dapatkan efek bintang?

Okay kalau sesapa tak tau apa dia efek bintang ni, katalah macam ni, ambik gambor lampu jalan, selalunya dapat macam lampu jalan ler. Tapi camna nak bagi dia ada pancaran dari tengah sumber lampu nampak macam tajam-tajam kat penghujung sinaran cahaya ?

Pakai F stop paling besor masa ambik gambor. Kalau F stop paling besor kat sesatu lens tu F22, set aperture kat F22 la, kalau F32 paling besor, set kat F32. 

F stop paling TINGGI/ BESOR makna dia lubang shutter paling KECIK. 

Tu jer, senang kan?



Dua-dua gambor matahari kat ataih tu aku ambik guna F Stop paling besor takat lens aku yang mampu. F22.

Aku guna 0.6 Neutral Density (ND) filter gak sebab nak kurangkan terang langit. Peh tu aku underexposed kan sikit lagi EV -1, untuk compensate terang langit tu lagi, bagi gelap skit sebab matahari terang sangat.

Cuba la.

Nota: Awan tu memang cam tu ler, tak special efek apa pun. Ni aku hiking kat gunung untuk berada ataih paras awan. Awan tu cover semua Tasik Geneva la tu. 

Sesungguhnya aku tak fit! Penat, putuih napeh, mengah, betih sakit, semua bala ada masa panjat gunung tu.

TAPI SUNGGUH BERBALOI ! Hehe

Thursday, September 29, 2011

SBDK: MAC AKHIRNYA

Ha ah.

Baru 2 minggu jadi tuanpunya IMac.

Senang sikit rasanya nak process dan edit RAW files. Lightroom 3.0 tak tersekat-sekat bila nak bukak. Tak de sangkut, laju, pantas, internet connection pun tak de masalah, aksesori PC lama aku pun boleh pakai dengan Mac.Isk, memacam lah. 

Yang paling ketara ialah jimat masa dengan ruang ataih meja kerja aku kat rumah. Tak de berserabut. Mata kepala semua lega.

So dengan adanya benda IMac baru ni, produktiviti pun meningkat ler. Cepat sikit proses, cepat sikit upload gambor.

Target seminggu upload 40 gambor berkualiti untuk jualan. Kata kunci ialah KUALITI yer. Tak de maknanya kalau upload 100 keping pun kalau semua kena reject.

Minggu ni nak pergi hiking kat ataih gunung Jura dengan Cinta Hati-Cinta Hati aku. Macam biasalah, buat 2 kerja dalam satu masa, selain untuk masa berkualiti lepak ngan famili, ambik gambor la jugak sama.

Hokeh.

Selamat Berhari Minggu. 

Jangan lupa lepak ngan famili komer semua.  

Note: 

Terimasih pada dermawan yang telah menderma kepada TABUNG IMAC AKULA MATIAU dan berjuta-juta lemon terimakasih diucapkan. Sebab dah beli IMac, maka dengan rasminya Tabung ini ditutup. Kalau nak derma untuk anak yatim, tak de hal boleh terima, nanti aku pass kan kat Dr. Bubbles.

Monday, September 26, 2011

SBDK : FIRST OUTING LEPAS BALIK MALAYSIA

Dah dekat sebulan lebih balik, baru ler dapat keluar ambik gambor. Dengan raya, kena demam plak, sibuk dengan kerojer, tak sempat nak keluar outing.

Kat sini dah masuk musim gugor, cuaca dah mula beransor sejuk, daun-daun pokok dah start tukor kaler dari hijo ke oren, merah, perang, kuning, memacamlah. Cantik. Aku memang dah tak sabor nak ambik gambor. Yang tak bestnya pulak, musim gugor ni selalu hujan. Aku plak boleh keluor outing masa weekend jer. Kena ujan masa tu, adoi, keciwa rasa hati. Tapi kali ni rasanya, aku nak belasah jer, ujan pun ujan ler. Ikat plastik kat kamera dengan lens, untuk elak masuk ayor, jalan.


Hokeh, ni gambor aku ambik kat ladang anggur mengadap Tasik Geneva. Yang gunung sebelah tasik tu Chablais Alps, tu dah dalam negara Perancis dah. Daun pokok anggur masih tak kuning, tapi masa ni depa dah mula tuai buah anggur untuk buat wine. Cuti minggu depan ni aku nak melepak kat area ni tengok depa harvest. Best gak kalau ambik gambor. Tu bawah tu kampung depa la. Ni masa senja. 


Ladang anggur ni kat lereng bukit, peh tu dia masuk dalam UNESCO World Heritage List, macam Penang ngan Melaka la, Peh tu ada landasan ketapi elektrik pulak. Sempat ambik gambor light trail ketapi lalu. Udah ketapi lalu 2 - 3 kali masa aku baguih nyer dok ambik gambor ladang anggur, belasah ler gambor ketapi lalu. Lorong tar tu jalan orang hiking. Sini memang banyak tempat hiking dan selamat. Tak takut jalan memalam. Banyak orang joging pun kat sini. Tak de la riso sangat pasal orang nak rompak, ugut etc macam (sedihnya) kat negara kita sendiri.

Ok dah abih, nanti update lagi.

Thursday, September 22, 2011

SBDK : LIGHT BOX BUATAN SENDIRI

Haa.

Dalam post lalu aku ada sembang pasal light tent untuk product shoot, gambor jenih background white isolated. White isolated ni maknanya semua tak de bayang satu hapa pun, semua putih kecuali gambor benda tu jer yang ada kaler.

Tak senang jugak rasanya nak dapatkan macam tu, tapi bukan tak boleh buat. Aku cuba banyak kali dah, asyik-asyik dapat gambor, shadow ada lagi. So itu sebab pakai light tent.

Dalam post ni aku citer satu lagi cara buat white isolated.

Yang ni  mesti kelakor. Sebab senang gilernyer nak buat.

BAHAN-BAHAN

1. A4 paper
2. Tripod
3. Stapler
4. 2 Flash.


CARA-CARA

1. A4 paper tu buat cam kotak. Aku lekatkan/ sambung dengan stapler.
2. Dah siap, letak atas meja yang ada permukaan cermin.
3. Flash bubuh satu kat atas. Satu lagi bubuh kat bawah.
4. Guna tripod untuk elakkan kamera goyang.

TIPS

1. Untuk dapatkan cahaya yang sesuai, ubah kedudukan flash tu ke atas dan kebawah secukup rasa.
2. Adjust jugak power flash tu sama nak kurang kan ke atau tambah kan. Rujuk manual flash memasing camna nak buat yek.
3. Masa proses gambor dengan software, adjust kecerahan ikut suka untuk dapatkan background isolated white.

Bawah ni gambor yang aku dapat.

Rings Of A Red Onions
© Photographer: Akulamatiau | Agency: Dreamstime.com

Red Onion Slice
© Photographer: Akulamatiau | Agency: Dreamstime.com

Red Onion Slice
© Photographer: Akulamatiau | Agency: Dreamstime.com

So kesimpulannya, tak yah beli benda mahal pun boleh buat jugak. Tak yah perabih duit. Simpan kumpul untuk beli lens atau aksesori lain yang perlu.

Hokeh, roger.

Saturday, September 17, 2011

MICROSTOCK PHOTO AGENCY : JENIS-JENIS LESEN GAMBOR

Sembang pasal jenih-jenih lesen gambor kat Microstock Photo Agency (MPA) ni pulak.

1. RF - Royalty Free

Ni yang basic giler. So gambor yang kita upload dan yang diapprovekan oleh MPA ni HAMPIR kesemuanya masuk bawah kategori ni.

Makna Royalti Free ni - kalau orang beli gambor kita dia boleh pakai gambor kita untuk apa-apa tujuan setakat mana yang dibenarkan dalam syarat beli gambor MPA tu. Tu antara MPA dengan pembeli. Kita dapat macam komisen la lebih kurang sebab gambor tu hak kita. Tapi bayaran cuma sekali jer. Kalau 10 orang beli gambor yang sama, dapat ler 10 kali bayaran. 

Orang yang beli tu pulak boleh pakai untuk katalah website dia ke, letak dalam majalah ke. contohnyalah. TAPI ada had takat mana yang dia boleh guna. Katalah orang beli tu nak letak dalam majalah maknanya gambor kita tu pakai nak buat bisness, so dia kena pilih beli  LESEN lain pulak.

Ada bermacam jenih lesen. Lain MPA, lain bentuk, jenih, syarat perjanjian. Contohnya (aku pakai Dreamstime punya, senang sikit)

Unlimited seats (U-EL):
Increase Max Copies (I-EL):

Web Usage (W-EL):

Print Usage (P-EL):

Sell the Rights (SR-EL):

Time Limited Exclusivity (SR-EL1, SR-EL3):


kalau nak study lebih dalam lagi jenis-jenis lesen ni, link kat sini.

Dari nama jenis lesen kat atas tu actually dah boleh agak dah apa bentuknya, dan sebab aku maleh nak taip panjang-panjang, aku pun maleh ler nak terangkan satu persatu apa ke benda semua tu. Alah, lagi pun semua dah besor panjang, boleh baca sendiri kan. Heheh

Apa ke gambor yang dikategorikan bawah RF ni?

Actually semua jenih. Cumanya, kalau ada orang (tak kira berapa orang) yang muka bentuk wajah boleh dikenalpasti kena pakai MODEL RELEASE. Kalau pulak bangunan and reta benda tu milik orang lain, atau milik kita sendiri, kena ada PROPERTY RELEASE pulak. Kalau dak kena reject. rasanyer aku ada sembang kat post sebelum ni kot.

2. EDITORIAL

Editorial ni lain skit.

Makna gambor editorial ni ialah gambor yang ada nilai berita atau pendidikan. Contohnya, gambor-gambor katalah yang kamu ambik masa graduation tadika anak-anak, atau gambor kamu ambik kat pertunjukan bunga api Hari Kebangsaan kat Dataran Merdeka, semua tu ada nilai berita, so boleh letak bawah kategori editorial ni.

Hah? apa. gambor anak main batu seremban kat belakang rumah?

Pun boleh gak. Tricknya kena terangkan dalam description masa submit gambor tu apa ke benda anak dok buat. Contohnya, Malay children playing traditional counting games at the backyard of a traditional Malay house. Contohnyer lah.

Contoh lain pulak macam gambor-gambor street scenes, katalah, gambor yang komer ambik kat Bandung masa bawak family jalan cuti sekolah dulu tu. Ada gambor orang tempatan, mana nak mintak model release kalau orang tempatan tu banyak sangat, kan, so ni pun boleh masuk bawah kategori ni.

Lain-lain contoh, gambor events, konsert, gambor budak sekolah tunggu bas, memacam lah.

Kalau ikut cara aku, memana gambor yang aku ada gambor orang yang tak boleh mintak model release atau property release atau gambor yang ada lambang yang di copyright (coca-cola, BMW, McDonalds contohnya) dan aku tak boleh buang dengan photoshop, aku boh bawah kategori editorial ni.

Cara nak describe gambor editorial.

Tempat, Tarikh Gambor Di Ambik - Latarbelakang gambor

Misalnya (TIPS)

Kampung Rapat Jaya, Ipoh, Perak, Malaysia. January 13th, 2011 - Malay groom, in a traditional attire, looked nervously at his beautiful bride in a traditional Malay wedding ceremony. (Bukan gambor kawin aku yek!)

Yang bestnya gambor editorial ni, tak payah MODEL atau PROPERTY RELEASE.

Yang tak bestnya, lesen dia cuma satu jer la, tak de pilihan.

Wednesday, September 14, 2011

MICROSTOCK PHOTO AGENCY : NAK JADI EKSKLUSIF KE DAK?

Hokeh.

Sesetengah Microstock Photo Agency (mulai sekarang aku nak taip MPA jer, sebab Microstock Photo Agency ni panjang sangat nak taip dan aku bukannya rajin sangat nak ulang taip perkataan yang sama) offer kita untuk jadi  jurugambor yang eksklusif dengan kompeni dia jer. Ada dua benda yang berbeza, lain mak satu bapak. Satu, jadi jurugambor eksklusif. Duanya, hanya gambor kita yang eksklusif.

1. JURUGAMBOR EKSKLUSIF

Contohnya kat Dreamstime, lepas berjaya 50 keping gambor diapprovekan, kita boleh pilih untuk jadi eksklusif dengan dia jer. Maknanya tak boleh dah la, jadi photographer dengan MPA yang lain.

Apa yang best sangat jadi eksklusif dengan satu MPA ni?
Bayaran lagi tinggi berbanding dengan jurugambor yang tak eksklusif.

Sebelah kiri ni contoh faedah-faedah yang boleh dapat kalau kita mohon dan diluluskan untuk jadi jurugambar eksklusif kat Dreamstime. Contohnya lah.

Apa pulak yang tak bestnya kalau jadi kita jadi eksklusif?
Kita kerja dengan satu kompeni ni jer, dan TAK BOLEH kerja denga MPA lain.

Eleh, mesti boleh tipu sikit-sikit, bukan depa tau.
Memang ler boleh kot, tapi kalau depa tau, kita kena banned for life.

2. GAMBOR JER EKSKLUSIF

Yang ni pulak, kita pilih option untuk gambor kita tu disubmitkan untuk dijual hanya pada satu MPA tu jer. Lepaih pillih option ni, adalah dilarang sama sekali untuk upload gambor yang sama kat MPA yang lain. Contohnya, upload satu gambor eksklusif kat Dreamstime, gambor yang sama tak boleh dah la upload kat 123RF lagi. 

Tang bayaran pulak, of course, lagi tinggi dari gambor-gambor yang tak eksklusif.

Boleh yek, senang kan?

Yang tak senang nyer nak buat decision la kot. Sampai sekarang ni tuan punya blog ni masih tak jadi eksklusif dengan mana-mana MPA, sebabnya nak exposekan portfolio selagi boleh. TETAPI, aku ada la jugak satu dua gambor yang aku pilih option jadikan eksklusif kat sesatu MPA yang aku rasa boleh buat banyak sale. Killer picture la tu kononnya.

Kononnya la............

Tuesday, September 13, 2011

SBDK: SEMAK GAMBOR-GAMBOR LAMA

Hoih, aku baru jer abih kaji semula gambor-gambor lama. Tengok mana boleh pakai untuk upload ke Microstock Agencies.

Tak banyak hasil. Ada la sikit yang aku rasa shot dia ok dan boleh adjust skit untuk menepati kriteria Microstock Photo Agencies, yang seriously kengkadang reviewer dia macam sial la jugak. Kengkadang, tak selalu. 

Sangat paham depa ni manusia jugak. Ada famili, ada mood, ada emosi. So biasalah, kalau nasib tak baik dapat Reviewer yang mood dia macam bini baru blah dengan jantan lain, abih la, gambor yang elok dan ada potensi pun kena reject. 

Tapi yelah jugak, kenkadang gambor yang aku sendiri pun tak konpiden boleh lepaih, di approvenya pulak. 

Apa-apa pun syukur jerlah. At least dah cuba.

Sorry, lari tajuk.

Sebenornya apa yang nak disembangkan kat sini, ialah, aku tengah demam kuat, MC, So dok rumah boring tak de buat hapa, tengok balik gambor-gambor lama, ada gak gambor-gambor yang boleh pakai untuk diuploadkan untuk jualan. Disamping tu, buat housekeeping sikit, buang semua test shots, gambor-gambor blur, punyalah banyak, At least dapat ler balik hard disk space untuk gambor baru pulak.

Itu jer la, kesimpulannya cer tengok shot lama-lama tu, kot-kot ada yang buleh jadi best seller. 

Manalah tau ye dak.

MAC ATAU PC

Hari tu aku lepak kedai Apple.

Dak aih, bukan kedai buah, ni kedai Apple yang jual Mac.

Kalau ikut bahasa bakunya, kalau nak describe pendapat aku lepas aku belasah test IMac yang di displaykan, TERUJA.

Sangatlah terujanya sampai aku abihkan dekat 2 jam dok try semua program dengan function IMac sorang-sorang aku. Customer lain datang nak tengok pun aku buat dek jer.

Aku tak pernah pakai Mac, sepanjang idup dalam dunia komputer, aku pakai PC jer. Pun aku belajor sendiri, tak de masuk kelas, sampai la boleh pasang sendiri. Tapi sejak dua menjak ni aku naik menyampah pakai PC aku, kejap-kejap nak kena upgrade, kengkadang tambah memory, tambah hard drive, tambah tweaking programs, memacam ler just nak maintainkan kedasyatan PC aku tu. Banyak gak aku labur. Udah naik maleh.

Tu ler sembang ngan kengkawan, depa advise aku, kenapa aku tak try pakai Mac untuk edit dan proses gambor-gambor aku? Ye lah, tak terpikior pun, sebab aku memang bias kat PC. No 2 nya aku rasa kalau convert ke Mac, boleh transfer ke semua file aku yang bermacam jenih tu, dengan external drives lagi. Mac boleh terima ke? Sebab dalam kepala aku, sistem Mac ni tak boleh nak terima langsung apa-apa dari PC.

So riki, punya riki, jawapan dia memang le boleh, tricky, tapi boleh buat. Aku lepak sembang ngan orang kedai tu tanya memacam, apa jadi kat fail aku, boleh guna ke dak, macam mana nak transfer, memacam lah.

Apa yang aku find out, berbanding dengan PC, Mac lagi clear dan bersih tang display, color lagi correct, laju, tak makan table space banyak, memcam lah. Aku buat survey, tengok hampir semua pro pakai Mac untuk proses gambor.

Tu ler sebab aku lepak dekat 2 jam kat kedai Apple tu, test Mac ni.

Arghhhhhhhhh!

P/S

Tabung kemanusiaan IMac Akula Matiau dibuka sekarang. Bantuan wang tunai adalah amat di alu-alukan dan didahului dengan ucapan ribuan terimakasih. Cek tidak diterima.

Wednesday, September 7, 2011

MICROSTOCK PHOTO AGENCY : SEMBANG SIKIT

Ok,

Bro Rizal request pasal topik ni. Aku ada sembang pasal Microstockphoto ni kat post-post sebelum ni. Link tag kat sini.

Elok jugak aku review camna nak join dan jual gambor online ni lepas berkecimpung beberapa bulan jer. Hehe.

1. Langkah mula-mula sekali, daftar, tak susah. Password sendiri, username sendiri

2.Dah boleh upload? Ada agensi kita boleh terus upload lepas daftar, ada yang bagi kita test dulu, lulus baru boleh upload, ada yang mintak kita submit gambor terbaik dalam 5-10 keping lepas depa review baru boleh upload. TIPS: kalau kena submit gambor dulu, pastikan gambor-gambor tu ada bermacam jenih, contohnya,  bagi depa Landscape, Still Life, Potraiture (gambor orang lagi elok) untuk direview. Jangan bagi semua gambor landscape, nanti kena reject. Tujuannya depa nak tengok kita ni boleh ambik gambor bermacam.

3. Lepas approved boleh ler upload.

4. Kengkadang ada jugak stok agensi yang mintak ID untuk sahkan yang kita tu diri kita lah. Aku uploadkan copy passport aku. Tapi IC pun boleh jugak.

5. Cara bayaran selalunya depa pakai 2. Paypal dan Moneybookers. Kalau takde akaun lagi, register dulu kat Pay Pal atau Moneybooker kat website depa. Tapi ada jugak yang bayar pakai international cek dan ada jugak pakai bank transfer. Ikut suka kita, mana yang senang.

6. Lepas upload tu, kita kena describe gambor kita tu, ada la borang kena isi. Selalunya, tajuk, description kategori gambor, dan keywords (untuk search engine depa la bila orang cari gambor depa type keywords kat search engine. So itu la gunanya.

7. Peh tu submitkan untuk review. Kalau gambor kita tu ok, lulus and boleh start dionlinekan dan dibuka untuk jualan.

Abih.

Ok sesapa nak join mintak tolong pakai link kat blog ni, pilih jer lah mana satu, ni referral la ni kat aku. Kira sedekah kredit la. :)

NOTA KAKI

Bro Rizal kena belanja aku Satu Nescafe Tarik KAW bila-bila aku balik ke Tanah Ayor. Heheh

Saturday, August 27, 2011

SELAMAT HARI RAYA KOMER SEMUA!

0.5 saat, F9, 20 mm, ISO 100

Yang tentunya, raya ni banyak ler peluang ambik gambor. Shooting Heaven!

Isk, itu ler yang aku miss benor raya kat Mesia ni, Dengan lemangnya, dengan rendangnya, dengan ketupatnya, dengan dodolnya, dengan segala macam bentuk kuih. Ada sesapa buat wajik? Ni peberet aku kekecik dulu, sekarang ni jarang benor nampak ujudnya. Susah betoi nak cari dah, kira masuk dalam kategori spesis diancam pupus.

Encik Pro cakap ngan aku, walau pun ambik gambor untuk fun cuba lari dari aksi formal boring berdiri tegak macam askar kawad. Teroka angle lain. Salah satu yang dia pesan, cer cari tangga, peh tu suruh anak beranak, sedara mara, pokcik mok cik berdiri kat bawah, sambil melangut pandang, kamu naik tangga shoot dari ataih, tengah depa melangut tu. Cadangan Encik Pro ler. Cer try.

Tahun ni masu tahun No 14 aku beraya kat negeri orang. Udah naik boring dah. Tapi tu ler sebab nak cari makan nak buat camna. 

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Mahap Zahir Batin.

Sila ambik gambor berbanyak!


P/s Gambor Ataih tu aku ambik masa cuti balik Malaysia ari tu. Cer tengok, tak de watermark kan, Saja la, komer ambik ler download kalau nak. Kira halal la.

APA TU : WHITE BALANCE

Kebelakangan ni bila sessi ambik gambor, aku start main White Balance.

Apa ke benda white balance ni?

Secara mudahnya, kengkadang bila kita tengok sesatu benda tu dengan mata kasar, kaler semua cun, elok tak de apa cacat cela, tapi alih-alih, lepas snap, gambar tu terbiru sikit, atau terkuning or teroren skit. Bila jadi macam ni maknanya dedahan white balance kita tu tak berapa betul. Actuallynya dengan mata kasar kita, tak ler kita perasan, tapi biala dengan kamera, sebab kamera ni tak perfect macam mata kita, so dia tak boleh proses kaler tu bagi neutral. Tu sebab gambor jadi kebiruan, kekuningan, keorenan.

Kalau ikut teorinya, kalau baju tu kaler putih, dalam gambor pun mesti kaler putih. Kalau dalam gambor, tak dapat kaler putih, maknanya white balance kamera kita tu ada sikit silap. Sebab kaler tak neutral.

Contohnya, kalau lampu kalimantang (setengah orang sebut, lampu putih, tapi sebab aku dulu ambik science stream, aku sebut lampu kalimantang) atau lampu fluorescent, efek kat gambor nanti tu jadi kebiru-biruan sikit (cool). Kalau pulak lampu jenis mentol (bulb) atau tungsten yang ada dawai kat dalam tu, efek dia kat gambor kita, jadi kekuningan atau keorenan (warm). Ingat lagi dak entry aku pasal strobes tu? Yang ada graf Kelvin tu. Macam tu la. Kira macam kamera tu konpius la nak tafsirkan kaler temperature apa nak pakai.

Contohnya macam gambor ni (yang dicilok dari Internet, sebab maleh nak upload gambor sendiri)


PRE SET WHITE BALANCE KAT KAMERA

Sebab tukang buat kamera ni semua baik hati, suci murni, depa dah siap set dah apa white balance yang sesuai kalau kita ambik gambor dalam sesuatu keadaan. Selalunya macam ni (tengok manual ye),

1. Auto (AWB) - Ni biasalah, kamera akan decide apa adjustment white balance yang paling sesuai nak pakai. Selalunya wa caya lu dalam semua jenis keadaan.

2. Tungsten - kalau ambik gambor bawah sinaran lampu mentol, pakai yang ni sebab kamera akan adjustkan white balance bagi cool skit, sebab lampu mentol keluarkan cahaya kekuningan dan keorenan (warm).

3. Fluorescent - Sebab lampu kalimantang ni cool, kesan kat gambor kebiruan ler, so kalau pakai setting ni gambor lebih warm lagi.

4. Daylight/ Sunny - pakai untuk daylight la.

5. Shade - Bawah tempat teduh selalunya gambar jadi cool (kebiruan), so pakai setting ni bagi warm.

6. Cloudy - Setting ni basically bagi gambor lebih warm.

7. Flash - Selalunya cahaya flash bagi gambor  cool, so kalau pakai setting ni masa pakai flash, gambor nampak warm setakok.

MANUAL/ CUSTOM WHITE BALANCE

Yang ni biasalah, kalau kita nak berkreatif, setting terpulang ler kat daya kreativiti kita tu, nak bagi lagi cool ke, lagi warm ke, ikut citarasa kita.

KESAN KAT FILE FORMAT

Actually, kita boleh tukor white balance setting masa proses dan edit. Aku baca, depa kata, kalau file ori jenis Jpeg, kesan dia tak berapa tepat. Elok shoot dengan RAW sebab RAW file ni banyak simpan details dengan information, so lagi tepat  ler adjustment tu.

Ok abih dah. Komer rajin, cer try.

Aku nak pegi beli daging, TERCINTA aku tu nak buat rendang untuk raya. Kang tak beli kang, kena bebel. Hehehe.

Friday, August 26, 2011

SHUTTER SPEED : MOH KITA MAIN OMBAK

Tak abih lagi ni pase ambik gambor kat Malaysia.

Memang dok teringin sangat nak ambik gambor pantai dengan laut, yang ada ombak sebab Geneva ni tak de laut, ada tasik jer. Ombak tasik tak cun, pantai pun tak cun.

Memang sangat ler pusahatinya dapat pergi lepak pantai ambik gambor.

Semua gambor pakai low shutter speed, long exposure, depends gak la set aperture jat F stop berapa. Lagi kecik lubang aperture lagi lama ler kelajuan bukak tutup shutter tu.
Setting kang kalau aku rajin aku taip..

Perkara-perkara yang aku find out.

1. Lagi berkesan kalau kita agak-agak bukak shutter masa ombak turun balik, dari masa dia naik hempas pantai. Macam gambor 3 dengan gambor 4

2. Jaga kamera jangan basah. Ombak boleh dengan tetiba jer terkam kat kamera bila kita leka . Cover dengan plastik kalau rajin.

3. Kamera beg kamu tu kalau jenih selepang ngan sangkut bahu ngan bawak dengan tangan letak ler kat tempat kering yang tak tercapai dek ombak. Perati jugak kot kang leka sangat ambik gambor, abih peralatan mahal kamu tu kena ranjun.Nangih report polis pun tak guna dah yop oi! Tu sebab aku suka bawak beg kamera jenih backpack. Senang, lekat kat badan.

4. Hormat kat orang tempatan, tanya, sembang, mintak izin dulu, depa lagi suka. Jangan sombong aaa.

5. Pasior banyak wei. So nak tukor lens tu bior rasa malu-malu sikit. Yelah, maknanya bior ler tutup sikit, kang masuk pasior dalam kamera, banyak lak keluor duit cuci sensor. Dah le raya ni abih dah duit. Tunggu gaji lama lagi.

6. Sila basuh tripod segera selepas shooting, kena ayor masin cepat karat, basuh ngan ayor paip jer ok dah.

Okeh, roger.

1/5 saat, F22, 17mm ISO 100

0.5 saat, F22, 17mm ISO 100
 
1/4 saat, F22, 17mm ISO 100
 
0.6  saat, F22, 17mm ISO 100

0.3 saat, F22, 17mm ISO 100

Wednesday, August 24, 2011

STOCK PHOTO AGENCY : STATUS APPROVAL GAMBOR MALAYSIA

 Dah masuk 2 minggu, lepas abih process dan upload gambor kat Stock Photo Agency ni, cam ni ler status submission nyer.
123 Rf. Lambat giler nak dionlinekan walaupun gambor dah approve untuk dijual. Adoi!
Fotolia. 168 keping submitted, approve 73 jer? Reviewer mood tak baik kot. Adoi lagi!
Dreamstime best 47 submit, reject dua jer, Best! tapi sebab limit upload cuma 47 keping jer seminggu, kena tunggu minggu depan baru boleh upload lagi.
Deposit photo ngan photokore, 168 keping upload, satu pun tak lepas lagi. lambat giler!
Canstockphoto - 168 upload, approved 112, ratio ok ler.
Belum upload - panthermedia, most photo and Yay Micro. Arggghhhh! banyak kerja lagi nak buat,
 First sale kat dreamstime, gambor ni
Boats and Sunset
© Photographer: Akulamatiau | Agency: Dreamstime.com

Sunday, August 21, 2011

FOLLOW ME : SAIFUL

Terimakasih kat Saiful yang ikut SBDK ni.

Welcome!

SBDK : UPDATE AKTIVITI AMBIK GAMBOR

Aku baru seminggu balik ke Geneva.

Hari ni la baru dapat update SBDK ni sebab sibuk memproses gambor-gambor kat Malaysia. Banyak giler tapi masih rasa tak pueh hati sebab rasanya banyak lagi yang benda yang boleh shoot. Hampir semua gambor aku shoot kategori landscape. Tak sempat langsung nak belasah macro, or sabjek lain. Lain kali ler nampak gayanya. 

Masa aku ronda kat shopping kompleks, aku perasan banyak orang bawak kamera DSLR, samada pegang kat tangan, or gantung kat leher. Pelik gak tengok, sebab kalau aku ler, mampus aku tak bawak camtu sebab tak selamat, yelah mana tau kot tersadong kaki ke, tertomoih kat lantai pecah kamera ngan lens kang. Bawak dalam beg kamera lagi la selamat. Tanya kat anak sedara aku, ni apa ke halnya depa ni dok usung DSLR kulu kelior ni? Anak sedara aku jawab, ler Pak Ngah ni la pesen sekarang, tayang DSLR, macam aksesori tambahan macam pakai gelang, rantai lebih kurang. 

Laaa, ya ke?

Hmm yelah, aku ni mana la tau tayang DSLR tu termasuk dalam aksesori pesen bebudak sekarang. Tapi kalau setakat entry level DSLR tak yah la kot nak tayang. Lain la kalau Nikon D700 ke, Canon 5D Mark Ii ke or lagi elok kalau 1D Mark IV, cool la jugak. Kat sini tak pernah nampak pulak bebudak muda kat sini tayang DSLR.

Tapi yelah, ikut suka memasing ler kot.

Masa aku shoot kat Malaysia, especially kat Putrajaya, banyak gak aku tengok bebudak muda hangkut kamera, tripod bagai shoot kat tempat yang sama. Ada gak la yang datang sembang ngan aku dengan member aku. Seronok gak sembang ngan depa ni. Kira fotografi sekarang ni poplar giler gaya-gayanya kat Malaysia. Bagus sangat la tu. Ada gak yang tanya camna  setting. Yang kelakornya, ada mamat tu punyala minat nak belajor, siap cakap Bang, abang tunggu sini jap boleh dak, saya nak pergi beli pen jap, nak catit. Adoi! Dik oi, aku pun macam korang gak, masih belajor, bukan pro lagi pun, setakat nak sembang kosong buleh ler, tanya banyak-banyak pun aku ni mana la tau sangat.

Ni antara gambor-gambor yang aku ambik kat Malaysia ari tu. Sekarang ni aku tengah bekerja keraih dok upload ke Microstock Agency. 














Banyak giler.

Adoi!

Monday, August 1, 2011

SBDK : AKTIVITI AMBIK GAMBOR DI MALAYSIA SETAKAT INI

Hokeh.

Nak update skit. 

Sesampai di Tanah Air ari tu, aku teruih belasah ambik gambor kat Putrajaya. Kat area bangunan yang baru siap tu, dekat dengan Jambatan hapa tah nama dia tak ingat, Seri Wawasan kot. Kat PLCC. Peh tu ambik gambor Masjid Besi, masa matahari naik, tapi jerebu, so tak menarik sangat.

Aku belasah shoot kat empangan depan PLCC, tempat aku selalu lepak lepaih joging dulu, shot aku rasa menarik, tapi sebab PC pinjam anak sedara punya, aku maleh nak edit, software tak cukup. Kena tunggu ler aku balik Swiss baru buleh upload. 

Kat PLCC 3 orang peminat SBDK join aku,(hehehe, jangan tak caya oooo). So aku sempat gak kongsi tips Encik Pro ngan depa, and aku pun sempat gak belajor tips dari depa. Best. Sebab peh tu pergi belasah roti canai.

Jumaat, Sabtu, Ahad lepaih, aku lepak ngan member aku kat Pantai Kemasek, Ganu ambik gambor perkampungan nelayan ngan bot depa. Best giler. Letih, tapi best giler. Petang Jumaat tu sampai jer, teruih celapak ke tepi pantai, hangkut tripod bagai. Seronok sembang ngan orang tempatan, peramah dan tak sombong. Ambik gambor depa pun depa cool, tanya mintak izin dulu.

Sabtu, continue shooting, aku abih 5 memori kad 8 gig, tapi yelah sebab aku shoot RAW, cepat ler abihnya. Ambik gambor batu, gambor pantai, gambor bot, gambor ombak menghempas pantai (slow shutter speed). Memacam ler.

Sebelum tu aku lepak Langkawi, tapi hampa, sebab UJAN 2 hari! Sempat gak ler ambik gambor pantai, tapi aku tak pueh hati dengan hasil kerja. Jerebu lak masa tu. Tapi tulah, langit tak selalu cerah.

Hari ni first day puasa, and projek pagi tadi aku pergi Kelantan atas urusan peribadi.. Sempat singgah kat Lebuhraya Timur Barat ambik gambor matahari naik. AND SERIOUS! aku nampak burung enggang, yang besor ada jambul tu, terbang melintas. Ingatkan spesis ni ada kat Sabah and Sarawak jer. Tak sempat nak ambik gambor, sebab perasan jer, udah jauh. Takde rezki.

Yang tak best dan majalnya, aku dah 3 kali jatuh, sekali kat tebing tasik Putrajaya, abih basah seluor dengan kasut, sekali lagi kat Pantai Kemasek, abih basah penuh pasir, and last sekali masa nak melangkah divider jalan kat Lebuhraya Timur Barat. ADOI!, Tapi tak pe, yang penting gear semua selamat.

Esok nak pergi pot kat sawah padi pulak kot. Tak putus apa lagi, tengok ler.

Hokeh roger.

Pagi hampa, aku kat kanan sekali, seluar ngan kasut lenjun abis.

Thursday, July 21, 2011

VIDEO : RIGHT TO SHOOT

Ni aku share video yang tunjukkan kita sebagai photogrpaher ada hak asasi ambik gambor as long as kita ada kat tempat awam.

Aku dah banyak kali kena halau, kena tegor, kena sound sebab ambik gambor bangunan. Angin ler jugak, tapi tu lah, nak buat camna.

Video ni educate kita, apa hak kita sebagai jurugambor, dan kat mana limit kita nak ambik gambor kalau tempat tu harta persendirian (private property).

Tak yah kita gaduh-gaduh, cakap elok-elok jer, selagi kita ada kat tempat awam, ataih jalan awam, kita boleh ambik gambor apa pun and sesiapa pun.

Hak kita.

Wednesday, July 20, 2011

SBDK : CUTI-CUTI MALAYSIA

Aku nak bercuti.

Tahun ni aku balik Mesia Insya Allah, ujung minggu ni. 

So SBDK pun cuti ler kejap selama 3 minggu, tapi kalau sempat dan ada masa, aku update ler. Banyak program ambik gambor dah planned dengan member kat tanah air. Sampai jer, petang tu dah ada member ajak outing photo shoot. Esoknya pun subuh dah ada kutu ajak pergi shooting gak. 

Gear yang aku bawak:-

1. Kamera body
2. Zoom Lens 70-200mm dengan 2X Extender
3. Standard Zoom Lens 24 -105mm
4. Wide Angle Lens - 17-40 mm
5. Tripod
6. Monopod.
7. Shutter Cable Release
8. Speed Lite
9. Filter Set

Ada gak member yang baru menceburkan diri dalam bidang ambik gambor ni yang mintak aku buat kelas. 

Kelakor giler!

Camna la nak pahamkan depa ni yang aku ni pun masih lagi belajor ambik gambor. Takat nak ikut ambik gambor ok ler, Nak ajor tu hoih! Tak sanggup ler teman.

Aku pun dah planned beberapa tempat yang aku pikir nak shoot.

1. Putrajaya - Sabtu 23 ngan 24 Julai
2. KLCC - Date tak tau lagi
3. Langkawi kot, (entah tak sure lagi) tapi beach kena shoot sekali.
4. Sawah padi.
.
Kalau nak ikut outing, jom..